Anugerah Juara Lagu ke-22

Anugerah Juara Lagu ke-22 2007 (AJL 22) adalah sebuah anugerah terbitan TV3 yang mempertandingkan lagu-lagu pencalonan Muzik-muzik yang telah disaringkan untuk membariskan 14 buah lagu terbaik ciptaan penggubah Malaysia pada tahun 2007 sebelum dinobatkan sebagai "Juara Lagu" yang ke-22. Lagu-lagu yang dibawa ke peringkat akhir ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock. Dengan bertemakan "Keajaiban Muzik"[1], malam anugerah gilang-gemilang ini telah diadakan pada 27 Januari 2008 di Stadium Putra Bukit Jalil pada jam 8.30 malam dan seperti biasa, dibawakan secara langsung melalui penyiar rasmi TV3 dan Hot FM. Pengacara yang mengacarakan malam tersebut ialah Ally Iskandar, Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Fara Fauzana.Pemenang Juara Lagu ialah Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged; kugiran tersebut selaku penggubahnya membawa pulang trofi dan wang tunai RM25,000 selaku juara keseluruhan dan RM12,000 lagi selaku juara Pop-Rock, manakala juara setiap kategori lain iaitu Samudera (etnik kreatif) dan Izinku Pergi (balada) mendapat trofi dan wang tunai RM12,000 sementara persembahan terbaik (Mawi, Angan dan Sedar) dan vokal terbaik (Jaclyn Victor dan Lah Ahmad, Ceritera Cinta) masing-masing memperoleh trofi dan wang tunai RM10,000.